Thursday, November 30, 2006

Air mata


“Uwannnnn…
“Haniyyaaaaa…
“Abahhhhh…”

Saya seka air matanya yang menitis. Saya pujuk dia. Supaya dia memberhentikan tangis.

Sedang air mata sendiri berusaha untuk disekang dengan kekuatan yang getis.

Penerbangan AK797 yang membawa suami, ibu dan anak saya pulang ke tanah air berlepas jam 6.00 petang, kelmarin. Dan kami berdua perlu tabah meniti hari-hari seterusnya tanpa mereka buat seketika. InsyaAllah kami berpisah untuk bertemu semula!

Di rumah, selesai solat Maghrib, sewaktu mahu ke dapur menyiapkan makan malam untuknya, dia memimpin tangan saya ke bilik tidur neneknya.

“Ummi… Uwan?”
“Kan Uwan dah balik kampung…”
Dia termenung. Mungkin mengingat kembali saat perpisahan di airport.

“Uwan balik kampung. Abah balik kampung. Haniyya balik kampung.” Dia bersuara seolah menerangkan kepada saya pula.

Ya Rabb…
Suburkanlah kekuatan dalam jiwa anakku
Semarakkanlah ketabahan dalam kalbunya

Ya Rabb…
Lindungilah kami
Lindungilah keluarga kami
Peliharalah hati kami
Yakinilah kami
‘Perjuangan’ ini punya hikmah besar yang tersembunyi!

Tuesday, November 28, 2006

Kegembiraan, kesedihan... silih berganti

SEJAK Isnin minggu lalu, dia begitu riang sekali. Masakan tidak. Abah, Adik Haniyya dan Uwannya berada di sini. Berada di sampingnya.

Hari pertama ‘kekasih-kekasihnya’ sampai, dia seakan terkejut. Masuk saja ke rumah, melihat wajah-wajah kesayangannya, dia tergamam. Dan bila kembali dicuit sedar, senyum melirik terpapar di wajah.

Setiap hari dia mengusik Haniyya. Mengucup pipi mongel si kecil itu berkali-kali. Memegang tangan adiknya mengajak bermain bersama seolah si adik memahami dan mahu mengikut kehendak hatinya...

Berbeza daripada hari-hari sebelumnya... dia memang terlalu gembira!
Esok...Abah, Adik Haniyya dan Uwannya akan berangkat pulang. Tidak dapat ku bayangkan bagaimana dia (dan aku) akan melalui saat perpisahan sementara itu nanti... waktu melepaskan mereka pergi....

Thursday, November 16, 2006

Mama


Hari ini banyak bicaranya. Membuka album sambil bertanya "Ini siapa? Ini siapa? Ini siapa? Ini siapa..."

Album dilepaskan... buku mengambil alih... "Ini apa? Ini apa? Ini apa? Ini apa..."

Buku pula dipelaskan.

Tergedek-gedek dia ke rak tempat menyimpan sebahagian buku-buku dan alat tulis. Dikeluarkannya kertas bersaiz A4 yang masih kosong tanpa bertulis apa-apa. Kemudian diambilnya mug yang berisi pensel warna miliknya. Dia kembali menghampiriku.

"Ummi... ini collour apa?"

Wah! Ini kali pertama perkataan 'collour' disebutnya. Dia mengulang setiap kali aku menyebut warna mengikut pensel yang berada di tanganku. Satu persatu aku perjelaskan kepadanya.

Dia mengangguk-anggukkan kepala. Tanda puas hati.

"Ummi, nyanyi!"

Aku tersenyum. Sebenarnya aku ingin ketawa. Permintaan yang agak melucukan hati.

"Satu, satu, Atif sayang Ummi... dua, dua, Atif saya Abah, tiga, tiga, sayang Adik Haniyya. Satu dua tiga sayang semuanya..." Aku mendendangkan lagu mudah itu sambil mengaksikan dengan jari.

Bila lagu itu habis ku dendangkan dia mengajukan soalan.

"Mama?"

Sekali lagi aku mahu ketawa. Mengapa?

Aku memandang tepat ke matanya. Bebola matanya juga tepat memandagku.

"Mama?" dia mengulangi lagi.

Silapkah aku tidak memasukkan 'Mama' - pengasuhnya- dalam lagu itu?

Wednesday, November 15, 2006

Bulatan


Sudah lebih seminggu dia asyik dengan pensel warna dan kertas. Ke sana ke mari 'diusungnya' dua mekanisme penulisan itu. "Bulat kecil...bulat kecil..." dalam pelat tersendiri dia melagukan.

Bangun tidur
Selepas mandi
Selepas makan
Mahu tidur

pasti ada pensel warna dan kertas di tangannya. Asyik sungguh!

Menurt Abahnya, anak seusianya amat sukar untuk membuat lakaran berbentuk bulat. Jika ada pun jumlahnya tidak sebanyak mana. Jadi, jika dia berjaya melakukannya insyaAllah ini bermakna IQ nya melebihi kanak-kanak sebaya dia.

InsyaAllah. Moga Allah menjadikan dia (mereka), anak-anak yang bijak, anak-anak yang cerdik, anak-anak yang soleh!

Namun, ada peristiwa yang meruntun hatiku. Ada lontaran suaranya yang menitiskan air mataku...

"Ummi... kakak nak Adik Haniyya!"
Sudah dua pagi dia menyuarakannya. Sudah dua pagi juga dia menangis tersedu-sedu melahirkan hasratnya itu padaku.
Aku sekadar dapat menjawab dengan air mata juga...

Thursday, November 09, 2006

Genangan


Hari ini bukan sekali, bukan dua, bukan juga tiga. Tetapi seringkali dia bertanyakan "Abah, Uwan, Atuk, Adik Haniyya" kepadaku.

"Ummi, Abah mana? Uwam mana? Atuk mana? Adik Haniyya mana?" begitulah bunyi soalan yang keluar dari mulutnya.

Aku sekadar dapat menjawab: "Abah di kampung. Uwan di kampung. Atuk di kampung. Adik Haniyya juga di kampung."

Dia mengangguk seolah faham. Namun, selang beberapa minit dia melantunkan soalan yang sama kepadaku.

Yang pasti, ada genangan cecair jernih di matanya setiap kali 'ayat keramat itu' disuarakan.

Benarkah anak sekecil itu memahami erti RINDU?

Tuesday, November 07, 2006


Syukur

Hari ini bertambah satu lagi perkataan dalam kotak mindanya. Selesai 8oz susu yang kubancuh untuknya disalurkan ke perut... sambil tangan kanannya menyerahkan botol, telontar sepotong ucapan dari bibir nipis mulusnya.

"Syukur...hamdulillah!" Dia tersenyum. Aku juga mengukir bibir supaya biar kelihatan sama seperti senyumannya.

'Syukur' itulah perkataan baru yang buat pertama kalinya melantun menggegar gegendang telingaku yang keluar dari kotak suaranya.

Tadi waktu seorang pelakon sedang mengaksikan babak membaca al-Quran di TV, tiba-tiba dia menyuarakan:

"Ummi... Abah ngaji. Jum ngaji Ummi..." sambil menunjukkan ke arah senaskah al-Quran di meja tulisku.

Kemudian dia mengubah bicara.

"Jum Ummi. Jum p Abah."

Aku sekali lagi merenung tepat memerhati anak matanya. Ada gambaran rindu di situ. Rindu pada Abahnya. Aku jadi sayu.

Tapi aku lebih sayu dan bahagia bila dapat merasakan dia juga sudah mahu berjinak dengan kalam Allah.

Syukur!