Monday, December 18, 2006

Ingatan dan Usaha sendiri


LIMAU. Anggur.
Dua buah ini memang amat digemarinya. Kalau makan limau tak cukup sebiji. Sebiji. Bukan seulas. Kalau anggur pula, paling kurang lima. Lima biji. Bukan lima kilo. Hehehhe...


Tadi sekitar jam 11 pagi, saya memberinya beberapa ulas limau. Mulanya diambil dan dimakannya ulas-ulas yang sudah saya pisahkan dari kulit dan sudah saya bersihkan urat-urat yang membalutnya. Tapi tak lama kemudiannya dia mahukan buah yang masih belum dikopek. Saya serahkan kepadanya sebiji. Saya perhatikan apa yang mahu dilakukan ke atas buah itu.


Dengan menggunakan jemarinya yang kecil dia berjaya melepaskan isi buah itu dari kulitnya. Dengan hati-hati dia juga membersihkan urat-urat yang melekat di buah itu sepertimana yang saya lakukan sebelumnya.

Dia tersenyum dan kemudian menyuapkan buah yang sudah dipisah-pisahkannya menjadi ulas-ulas yang kecil ke mulut.


"Ummi, Abah nye?" tiba-tiba soalan itu diajukan kepada saya.

Mungkin bagi anda di luar sana ayat itu tidak memberi kesan apa-apa. Tapi bagi saya ia amat mengharukan.


"Ummi, Abah suka..." katanya lagi. Air mata saya hampir menitis.

"OK lah. Kita simpan separuh untuk Abah," kata saya untuk menyenangkan hatinya.


Tiba waktu makan tengah hari.

Saya menyuapkan mi sup ke mulutnya.

"Emmm seeedappp..." luahnya memuji.

"Bijaknya anak Ummi," balas saya.

"Ummi, Abah.

"Ummi, Abah pun nak," katanya penuh yakin.

Sekali lagi hati saya digamit pilu.


Anak ini, yang usianya belum pun mencecah dua tahun sudah tahu dan ingat buah kegemaran Abahnya. Pun antara makanan yang digembari Abahnya!


Tadi saya merebus sedikit kacang tanah. Untuk dimakan waktu duduk berehat.


Dia mengambil satu. Dikupasnya. Dileraikan biji-biji kacang yang comel dari kulitnya.

Dia belajar untuk melakukannya sendiri tanpa bantuan saya. Sekali lagi dia belajar berdikari!

1 Comments:

At 5:50 PM, Anonymous Anonymous said...

Sejuta Tahniah dan Terima Kasih pada Isteri Tersayang yang bijak mendidik Anak-anak hingga menjadi baik sikap dan perwatakannya.

Saya selama ini memang beranggapan begini. Jika seseorang anak itu baik sikap dan perangai, sudah pasti Ibunyalah yang bijak menjayakannya.

Terima Kasih Sayang kerana sanggup menjadi Ummi pada Anak-anak kita. Malah sanggup pula memberikan didikan terbaik pada mereka.

Saya sebutkan perkara ini kerana sekarang ramai yang boleh memiliki anak tetapi hanya memberi makan sahaja. Mereka tidak mendidik.

Salam Sayang dari Suamimu...

ilhami hisham

 

Post a Comment

<< Home