Sunday, January 06, 2008

Kisah Minggu Pertama

Sepanjang minggu pertama tahun baru 2008 ini pelbagai cerita yang disuakan oleh teman-teman ke telingga saya. Minta pandangan... dan ada juga sekadar mahu saya menjadi pendengar luahan beban perasaan yang ditanggungnya. Antaranya adalah:

A menceritakan bagaimana pembantu rumahnya bertindak mengoyakkan cadar apabila ditegur tentang bilik yang disediakan untuk pembantu rumah itu sendiri yang dilihatnya tidak pernah dikemaskan oleh penghuni bilik itu semenjak A membawa pembantu rumah itu masuk ke rumahnya.Dengan ucapan memberontak - "ini bilik saya. suka hati sayalah sama ada mahu dikemaskan atau tidak," si pembantu rumah khabarnya sampai bertindak menggoyakkan cadar tidak terurus yang digunakan untuk melapis tilam di katilnya itu.

B mengirim SMS kepada saya mengadu suaminya yang semakin berubah akhir-akhir ini.

C bercita tentang anak remanjanya yang semakin kerap bersikap protes dan ada kalanya membuatkan C menitiskan air mata kerana tidak dapat memahami apa mahunya si anak.

D menelefon mengadu insan yang dikasihinya 'dikesan' mempunyai 'hubungan' dengan permpuan lain. Kata D, mahu diminta penjelasan lanjut dari hati orang yang dikasihnya itu, bimbang nanti benda tidak seberapa dia yang melebih-lebih. Bimbang lain jadinya. Tidak ditanya... khuatir si kekasih hati semakin alfa dan asyik masyuk. Akhirnya... juga lain jadinya!

Baik A, B, C mahupun D.
Sebenarnya sahabat-sahabatku (tak ketinggalan pada diri saya sendiri), apa yang berlaku dan kita tempuh ini merupakan cuma sedikit 'sergahan' Tuhan untuk kita yang selama ini terlalu merasa selesa dengan kehidupan yang dialalui. Dia sekadar mencuit kita supaya kita beringat. Supaya kita tidak leka. Supaya kita kembali membuka mata.

Mungkin itu teguran Tuhan untuk kita supaya berhati-hati mengeluarkan kata-kata bila berbicara dengan orang lain. Tak kira siapa dia. Sama ada kedudukannya lebih atas atau lebih rendah daripada kita. Hati semasa manusia perlu kita jaga.

Mungkin Tuhan mahu mengingatkan kita semula, memang sifat manusia hatinya berubah-ubah. Tak kira siapa. Walau dia suami kita. Ada kalanya kepercayaan kita dilecahkannya. Walau begitu bukanlah bermakna dia sengaja berbuat demikian (dan tak mustahil juga memang disengajakan). Jalan terbaik antara suami isteri seringlah ingat memperingati. Nampak berubah... tegur menegurlah. Bila merasa ada yang tidak kena...seeloknya kita berterus-terang. Jangan disimpan. Kelak yang rosak hati sendiri juga. Baik isteri mahupun suami sesamalah lunturkan ego untuk kebaikan bersama.

Memang benar diusia anak meningkat remaja, inilah detik yang paling mencabar dalam mendidiknya. Saat inilah mereka mahu meneroka dan mencari jawapan dalam segala sudut kehidupan. Sehinggakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya untuk usia semuda itu. Apapun kita perlu banyak besabar berhadapan dengan proses 'penerokaan' yang mereka alami ini. Imbas semula bagaimana ibu bapa kita berhadapan dengan ragam kita seusia itu dahulu. Berjaya atau tidak ibu bapa kita mengatasinya? Kalau berjaya.... apa salahnya cara itu kita gunapakai.

Bila sesuatu kita lakukan dengan ikhlas, memang kita tidak suka mengungkit-ungkit malah menyebutnya pun tidak mahu kepada orang yang dikasihi tentang pengorbanan yang telah kita lakukan untuk kebaikan bersama. Kerana kita tidak pernah menyebut-nyebut... ada manusia yang seolah terlupa untuk menghargai. Dan ada juga tahu dan tidak pernah melupakan pengorbanan itu namun dalam masa yang sama dia tetap merobek hancur hati orang yang disayangi. Tidak tahulah sama ada kerana sifat pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan hati dan perasaan orang yang menyayangi atau apa sebenarnya....

Kepada A, B. C dan D... Maaf kerana saya sekadar mampu menjadi pendengar yang baik
Apapun.... apa juga perkara yang mengetuk dan menggegarkan jantung kita... rasanya tempat yang paling tepat untuk kita mengadu adalah pada Dia Yang Maha Mengetahui. Mohonlah pada-Nya. Kerana Dia Yang Lebih Arif kenapa 'tanda peringatan' itu diberi-Nya kepada kita. Dan itulah juga yang sering saya lakukan!

Wednesday, January 02, 2008

Hampir Setahun...

Sudah hampir setahun dada laman ini tidak saya coret. Sibuk? Apa yang saya sibukkan? Mahu dipersalahkan hambatan tugas dipejabat... sama sekali perbuatan itu tidak masuk akal. Alhamdullillah segala tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sempurna tampa memberi tekanan kepada saya. Dan kerana itu tugas sebenarnya bukan menjadi penghalang untuk melukis, melakar, mencoret dan apa saja mahu saya lakukan di dada laman ini. Jadi kenapa saya tidak menulis? Entahlah.... saya sendiri tidak menemui jawapan pasti...

Dan kenapa hari ini tiba-tiba ringgan jemari ini untuk mencoret semula? Mungkin satu jawapan klise... 'entahlah saya sendiri tidak menemui jawapannya....'

Emmm... tahun baru juga sudah beberapa hari kita jejak. Selamat tahun baru suamiku! Selamat tahun baru anak-anakku! Selamat tahun baru juga untuk diriku sendiri!

Sebenarnya malam ini... saat ini.. ketika ini... hati saya sedikit walang. Teringat suami terkasih. Teringat anak-anak tercinta. Teringat keluarga tersayang...

Kenapa?

Kerana pada mereka tersimpan kasih
Pada mereka tersimpan sayang
Pada mereka tersimpan cinta
Pada mereka tersimpan cerita
Cerita yang menyimpan 1001 warna kehidupan yang hakiki!

Ya Rab...bawalah aku segera dekat dengan mereka. Biar dapat aku dakap erat 'hati' suamiku. 'Jiwa' anak-anakku. 'kalbu' keluargaku... Ku phohon belasmu Ya Allah!!!